Thursday, February 9, 2017

DIDIK JADI MANUSIA SEBELUM JADI MUSLIM



"Apa yang penting adalah ilmu agama" kata seorang bapa.
“Kalau ada ilmu agama, selamat semuanya” ujar seorang ibu.
“Tiada maknanya pandai bab-bab lain kalau bab agama kosong” tegas seorang guru.
Memberikan harapan yang sedemikian rupa kepada ‘ilmu agama’ bukanlah sesuatu yang asing. Malah ia dianggap sebagai satu perkembangan yang positif apabila kemahuan kepada agama meningkat. Akan tetapi, kesedaran tersebut perlu dibentuk agar ia dihalakan ke perjalanan yang benar.
Agama, jika yang kita maksudkan sebagai agama yang sedemikian rupa, adalah agama yang Allah wahyukan kepada manusia, untuk manusia amalkan. Jika agama menjadikan seseorang itu Muslim, sebelum dia menjadi Muslim, dia adalah manusia. Yang bersedia menerima agama Islam itu bukan gunung, atau bulan dan bintang, tidak juga malaikat mahu pun jin dan haiwan, sebaliknya manusia.
Maka manusia perlu mempunyai ciri-ciri asasnya sebagai seorang manusia untuk menyambut agama. Ciri-ciri asas itu tidak begitu bersifat keagamaan, sebaliknya ia lebih bersifat kemanusiaan. Sesuatu yang universal. Sesuatu yang boleh ada dalam kelompok mana-mana sahaja manusia, tanpa mengira manusia itu telah, sedang dan akan memilih Islam sebagai agama, mahu pun tidak.
Imam Birgivi mengemukakan pendapat bahawa akhlaq yang baik itu terbina di atas syakhsiah diri yang kuat. Kekuatan syakhsiah diri itu ada tiga iaitu:
  1. Rasional (النطق) iaitu kemampuan berfikir yang baik.
  2. Marah (الغضب) iaitu tindak balas emosi yang membantah apa yang tidak dipersetujui.
  3. Syahwat (الشهوة) iaitu keinginan untuk mendapatkan apa yang dihajat.
Ketiga-tiga equilibrium akhlaq ini sudah lahir bersama fitrah manusia.
Kanak-kanak begitu agresif kemahuannya untuk tahu. Setiap benda baru, seperti menyalakan mentol baru di dalam mindanya. Bertanya, rasa ingin tahu, menyingkap, mencuba, adalah sifat-sifat semulajadi pada diri kanak-kanak kita.
Demikian juga reaksi menangis, mengamuk dan marah apabila ada sesuatu yang tidak disukainya. Dia tidak akan mendiamkan diri atau membiarkannya begitu sahaja. Kanak-kanak akan melakukan sesuatu untuk melawan. Sekurang-kurangnya dengan menangis, kerana itu mekanisme yang paling spontan boleh dibuat.
Begitu juga dengan soal kemahuan. Jika seorang kanak-kanak mahukan sesuatu dia akan meminta, menangis, malah mungkin secara tantrummenelentangkan dirinya di lantai dan mengamuk-ngamuk, sehinggalah apa yang diinginkan tercapai.
Naluri yang begitu sudah Allah kurniakan. Tidak kira anak itu lahir di benua mana sekali pun, sikap mereka tidak banyak berbeza. Mereka responsif.
Tetapi di satu peringkat kehidupan, reaksi itu pudar.
Malas berfikir. Tiada sifat melawan. Hilang kemahuan. Remaja yang dahulunya adalah kanak-kanak yang bersedia untuk dibentuk, berubah menjadi anak muda yang sukar dibentuk kerana tidak responsif dan malas berfikir. Tiada keinginan untuk cemerlang. Gagal sekali, terus berhenti berusaha, seperti kemahuannya tidak sepenuh hati. Ada yang tidak dipersetujui, didiamkan sahaja.
Semua ini sukar untuk diukur dengan neraca agama sama ada ia Halal atau Haram, makruf atau mungkar. Sebaliknya jika diukur dengan neraca manusia, ada sesuatu yang tidak kena.
Sama ada kerana didikan di rumah, pendidikan di sekolah atau kehidupan di dalam masyarakat.
DUA YANG SATU, SATU YANG DUA
Iman dan Islam boleh jadi sama apabila disebut secara berasingan, tetapi makna kedua-duanya berbeza apabila disebut bersama-sama di dalam satu konteks. Misalnya di dalam surah al-Hujurat ayat 14, golongan Arab badwi itu berkata yang mereka telah beriman, tetapi kata-kata mereka itu disanggah dan dalam kondisi tersebut, cukup dahulu dengan kenyataan “kami baru Islam”, sebab iman belum benar-benar masuk ke hati.
Muslim dan mukmin itu adakala maknanya sama. Tetapi dalam sesetengah hal, makna setiap satunya berbeza. Demikian juga halnya dengan istilah Nabi dengan Rasul.
Demikianlah juga perihalnya dengan menjadi manusia dan menjadi muslim.
Biar pun manusiawi itu sendiri adalah Muslim dalam pandangan alam kita, hari ini kita ada keperluan untuk menyentuhnya secara berasingan kerana kini kita hidup di zaman berlakunya defisit kemanusiaan.

Anak-anak dibesarkan dalam keadaan dikongkong, kehendaknya tidak dipedulikan, perasaannya disakiti dan diabai tanpa peduli, diaibkan, ibu bapa sibuk, anak pun terlupa untuk  dipeluk, kemudian pendidikan semasa pula mahu pelajar menghafal, menekankan apa yang perlu difikir, bukannya bagaimana berfikir… semua ini menyebabkan anak-anak bengang, tertekan, murung, memberontak, lalu menjadi nakal.

Apa yang ibu bapa fikir, solusinya ialah anak-anak ini disuruh menghafal al-Quran dan belajar ilmu agama (fiqh, aqidah, sirah dan lain-lain) serta pakai pakaian yang Islamik seperti ketayap, serban, jubah dan tudung labuh. Sedangkan apa yang rosak di dalam diri anak-anak itu adalah emosi, mentaliti, self esteem … tetapi ubat yang diberi adalah ‘info agama’. Lebih malang, info agama diajar secara yang merosakkan lagi kemanusiaan pelajar-pelajar dengan pendekatan ganas, memalukan pelajar, tidak menghormatinya sebagai insan.

Dulu-dulu, hal ini tidaklah menjadi isu yang ketara sebab manusia normal tidak dehumanize manusia lain. Kini, ceritanya berbeza.
“Ajar agama, selesai masalah” menjadi solusi yang dominan, tanpa melihat komponen manusiawinya (kalau pun tidak dinamakan psikologi dan pedagogi).
Justeru, perlulah kita mempertimbangkan harapan kita kepada ‘ilmu agama’. Bahawa, ‘ilmu agama’ itu memerlukan manusia. Anak-anak kita memerlukan pendidikan yang memanusiakan mereka, sebelum mengislamkan mereka. Dan kegagalan anak-anak kita menjadi Muslim seperti yang kita mahu, mungkin bukan kerana kurangnya Islam, tetapi kerana kurangnya kemanusiaan mereka.
Bertugas di sekolah, saya tidak mahu sekolah kami dikategorikan sebagai sekolah tahfiz, sekolah agama atau sekolah akademik. Ia sekolah Metode Khalifah dan perjuangannya ialah memanfaatkan kemanusiaan manusia untuk memeluk agama. Tetapi bahasa ini bukan bahasa pasaran, dan tidak mudah untuk ibu bapa menghadam idea ini kerana secara spontannya, ibu bapa sudah tentu lebih khuatir dengan peperiksaan anak, belajar nanti universiti mana dan kemudian kerja apa.
Oleh yang demikian, titik harmoninya perlu dijayakan.
Manusia, sebelum Muslim!
Credit : ABAH.MY

0 comments:

Post a Comment

Belanja online yang menguntungkan. Bagaimana caranya?

Followers

Kenali Saya

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
Assalamualaikum & Hi, I am Noratikah Shamsuddin || A Working At Home Mama (WAHM) || 25 yo (2016) || Mom for our first baby boy Muhammad Al-Fateh || A wife to a great husband Mohd Syarmizi Zolkiflee || Ex-HSE Engineer

Rakan AMWAY anda !

Hubungi Pn Atikah di:-
019-5464196 (sms/ whatsapp)
noratikah.utp@gmail.com

Popular Posts

Powered by Blogger.

Facebook

Videos

Technology

Sports

Fashion

Nature

Business

Header Ads

Custom Widget

Main Slider

Recent in Sports

Photography

Music

Popular Posts